Lagu Kesukaan Saya

Wednesday, 20 February 2013

Pemain negara ada misi penting


KESEMUA beregu lelaki yang akan beraksi pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Seluruh England 2013 mempunyai misi penting untuk dilunaskan.

Demikian tegas ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her ketika diminta mengulas mengenai persiapan mereka menjelang kejohanan berprestij itu yang akan berlangsung di Birmingham bermula 5 Mac depan.

Kejohanan selama lima hari itu akan disertai tiga beregu utama negara iaitu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dan Goh V Shem-Lim Khim Wah.

Menurut Kim Her, para pemain mempunyai sasaran tersendiri sama ada untuk membawa pulang gelaran atau beraksi bagi mengejar mata ranking untuk layak ke Kejohanan Dunia di Guangzhou, China pada Ogos nanti.

Ini kerana, Kien Keat-Boon Heong yang berada di ranking kedua dunia dan Thien How-Wee Kiong (ke-10), berada dalam keadaan selesa untuk layak ke Kejohanan Dunia 2013.

V Shem-Khim Wah pula yang berada di tangga ke-19, berkemungkinan gagal menempah tempat ke Guangzhou sekiranya ranking mereka dipintas dua beregu profesional, Gan Teik Chai-Ong Soon Hock dan Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari yang turut beraksi di England nanti.

Teik Chai-Soon Hock kini menghuni ranking ke-22 dunia manakala Mohd. Zakry-Mohd. Fairuzizuan pula berada di tangga ke-23.

“Kien Keat-Boon Heong lebih tahu sasaran mereka (layak ke final) tetapi setelah saya melihat undian semalam (kelmarin) saya rasa gembira kerana mereka tidak perlu melalui laluan yang sukar untuk mara ke separuh akhir.

“Ini tidak bermakna saya hanya mahu mereka mara sehingga ke separuh akhir. Mereka sendiri tahu sasaran yang telah ditetapkan pada tahun ini iaitu Seluruh England dan Kejohanan Dunia.

“Bagi beregu yang lain pula, walaupun mereka berhadapan dengan pemain-pemain yang hebat, mereka juga harus memberikan yang terbaik.

“Sekurang-kurangnya, Thien How-Wee Kiong dan V Shem-Khim Wah harus mara sehingga ke pusingan kedua kejohanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada undian yang dikeluarkan kelmarin, Kien Keat-Boon Heong akan bertemu beregu England, Chris Adcock-Andrew Ellis pada pusingan pertama.

Sekiranya beregu utama itu mampu mengekalkan momentum untuk mara sehingga ke aksi suku akhir, mereka diramalkan bertemu dengan pilihan kelima kejohanan dari China, Hong Wei-Shen Ye.

Thien How-Wee Kiong akan memulakan aksi menentang Yonathan Suryatama Dasuki- Hendra Aprida Gunawan dari Indonesia manakala V Shem-Khim Wah akan berdepan pasangan Jepun, Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata

Kim Her juga berharap agar kedua-dua beregu itu akan memberikan aksi yang konsisten meskipun mengetahui bakal bertemu dengan pasangan yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.



No comments:

Post a Comment