Lagu Kesukaan Saya

Friday, 29 March 2013

Malaysia langkah kanan benam cabaran Singapura


MALAYSIA bermula dengan baik di laman sendiri apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Singapura pada aksi kelima peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 di Stadium Badminton Cheras semalam.

Kedudukan skuad badminton negara pada peringkat kumpulan masih kekal di tangga ketiga selepas meraih 14 mata untuk berada di bawah pendahulu, Indonesia (15) dan Thailand (14).

Biarpun berkongsi jumlah mata yang sama dengan Thailand, Malaysia ketinggalan dari segi bilangan set perlawanan sejak kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1 juta (RM 3.1 juta) membuka tirai pada 21 Mac lepas.

Pada aksi menentang Singapura semalam, Malaysia terlebih dahulu hilang mata pertama selepas perseorangan wanita, Sonia Cheah Su Ya tewas kepada Gu Juan dalam aksi rubber set 19-21, 21-15, 15-21.

Kemudian, skuad negara kembali bangkit menyamakan keputusan 1-1 menerusi perseorangan lelaki, Chong Wei Feng yang menundukkan pencabarnya, Ashton Chen Yong Zhao 21-17, 19-21, 21-9.

Malaysia terus mengekalkan konsistensi pasukan untuk mendahului Singapura apabila beregu campuran kebangsaan, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mudah menewaskan pasangan dari negara jiran itu, Danny Bawa Chrisnanta-Vanessa Neo Yu Yan 21-13, 21-11.

Skuad negara melengkapkan mata terakhir pada perlawanan keempat apabila beregu lelaki kedua negara, Hoon Thein How-Tan Wee Kiong menewaskan Terry Yeo Zhao Jiang-Liu Yi 21-18, 21- 14.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian pasukan Malaysia.

"Semuanya okey, kecuali perseorangan wanita tetapi Sonia telah memberikan yang terbaik cuma pencabarnya itu mempunyai kelebihan dari segi pengalaman serta kedudukan ranking.

"Wei Feng pula seperti hilang tumpuan pada set kedua tetapi dia berjaya bangkit untuk meraih mata pertama pasukan selepas menang mudah pada set ketiga.

"Bagi kedua-dua beregu kita pula, saya lihat mereka tidak mempunyai sebarang masalah dan boleh mengawal rentak permainan mereka dengan lebih baik," jelas Rashid.

Ketika ditanya mengenai perancangan pasukan selepas menurunkan Wei Feng sebagai pemain perseorangan lelaki, Rashid berkata: "Daren tidak sihat jadi kami terpaksa merehatkan dia.

"Mungkin esok pun Wei Feng akan beraksi lagi tetapi saya percaya Daren akan lebih pulih sepenuhnya pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Pilihan Bintang Asia."

Malaysia dijadualkan bertemu Vietnam hari ini di venue yang sama pada pukul 6.30 petang sebelum berdepan Pilihan Bintang Asia esok (pukul 2 petang).

Sementara itu, Pilihan Bintang Asia turut mencatat kemenangan selepas menumpaskan Vietnam dengan keputusan 3-1 pada aksi yang berlangsung lebih awal.



No comments:

Post a Comment