Lagu Kesukaan Saya

Friday, 14 June 2013

ukhuwah bukan cap ayam


pertemuan tiada erti
dalam sekilas  pandangan
keanehan mulai bertamu
dalam renungan yang bersambut
bersalaman penuh suci
bertemu dalam keindahan
bicara  melirik dan melafaz
dalam alunan perkenalan hati
itulah permulaannya
insan bernama sahabat

keakraban itu
terukir sendirian
bertatih perlahan tidak tergesa
belajar mengenal
belajar mengerti
belajar memahami
belajar menghargai
kurniaan Ilahi
perihal seorang sahabat
seiring dengan waktu yang berlalu
sebagai kesinambungan
dalam sebuah buku kehidupan

ada bersahabat
semudah kerdipan mata
ada bersahabat
sepayah tiada kerdipan mata
ada bersahabat
setekad lafaz “uhibbuka fillah”
versi terkini erti persahabatan
majoritinya diadun duniawi
ada pula disangka perencahnya ukhrawi
bersama ketika dalam keriangan
melindungi ketika dalam kedukaan
tatkala kejujuran dan keikhlasan
mencerminkan  layanan manusia semata
sedangkan redha Ilahi nyata tiada dusta

mungkin kerana itu
dunia hari ini
disulami rungutan berteriak
tangisan berlagu
rayuan bermadah
hanya kerana persahabatan yang tergugat
dek kesilapan manusia yang tiada terlepas
dalam tulisan sebuah buku kehidupan
memaksa untuk menyelak kembali
setiap episod yang tercatat
mengambil ibrah
dasar ukhuwah yang terjalin
memperbaiki sentuhan kasih
berpaksikan redha Ilahi
kepada insan bergelar sahabat

tiada siapa yang mahu
epilog sebuah persahabatan
bukan kerana sang Penciptanya
tanpa diduga oleh sang karakternya
namun kasih sayangNya itu
memberikan setiap insan yang bertuah
kaca mata yang luar biasa jernihnya
sehingga ketulusan dan keikhlasan
yang dibina kembali
memahami sebenar erti ukhuwah

No comments:

Post a Comment